Thursday, September 10, 2009

elok ni untuk danish...

'Temper tentrum' atau mudah marah dialami budak gagal berkomunikasi dengan baik


PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda.
Salahkah kalau anda mencubitnya supaya dia diam? Atau menarik telinganya? Atau mungkin anda patut mendukungnya saja dan pulang terus ke rumah.
Kemarahan secara tiba-tiba ini disebut ‘temper tantrum’ dan ia bukanlah kemestian pada setiap kanak-kanak. Namun, di kalangan sesetengah ibu bapa, sikap anak yang baran atau mudah marah memang memeningkan kepala. Lebih sukar lagi jika anak kecil ini tidak makan pujukan dan menangis lebih kuat apabila mereka tidak diendahkan.
Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat.
“Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.
“Kekecewaan itu ada kalanya kerana kesukaran anda sebagai ibu bapa memahami kehendaknya disebabkan penguasaan perbendaharaan kata yang sedikit,” katanya yang menulis di Mayoclinic.com.
Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.
Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.
Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.
Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah mudah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.
Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya.
Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan. Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda.
Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.
Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat.
Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya.
Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi?
Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya. Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.
Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum? Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum. Cuba fahami mengapa si kecil anda marah. Alih perhatiannya.
Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia - mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.
Info
Tip tangani anak mengamuk
Tiada cara atau kaedah mengelak anak mengamuk tetapi masalah ini boleh ditangani dengan menggalakkan sikap positif kepada anak.
Konsisten - Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.
Buat perancangan awal - Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan untuk anak jika ada kemungkinan anda perlu beratur panjang.
Kreatif - Galakkan anak anda bercakap. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti 'Saya Mahu', 'Cukup', 'Sakit' dan 'Penat'. Lebih mudah komunikasi anda dan anak, lebih kurang anda berdepan masalah anak mengamuk.
Buat pilihan - Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.
Beri pujian - Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.

Kanak-kanak lingkungan usia dua hingga tiga tahun cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami.

Patutla akhir2 ni danish suka sgt mengamuk..naik rimas..sikit2 ngamuk... nak pujuk nya pasal... sanggup org dukung dia..mcm nak patah pinggang ni...

1 comment:

Panggil Saja Lyeana,Yana said...

info yg mmg berguna..mmg ler anak2 yg baya 1-3 thn nie kalu buat sesuatu x dpt nk merengek2,melalak.kita ler yg kena bnyk2 sabo.....